hello world!

this blog is proudly created for the sake of my beloved students..
those who has any problem in their Bahasa Malaysia especially the essay part (Karangan Bahan Rangsangan + Karangan Umum) can simply step here, referring to the way i'm writing..
maybe can give u some idea or even maybe a guidance for u when i am away!

this blog is also meant as a reference for u - novel part! i realize sometimes the notes that have been given not being pasted in your book..so you can even read and perhaps print it out for your own good!

for the beginning i'm sorry should there be any lackness since this is the very 1st education-based blog...
and i'm very proud to announce, the idea came out when i am busy doing the PMR drilling with my 1st PMR babies...

*******************************************************

Sunday, August 29, 2010

Best of Luck!

to my beloved students who is sitting for PMR Trial 2 today;

good luck for everything!

Friday, August 27, 2010

Set 5, Kertas 2 Bahagian A (Kertas Model PMR 1 Visi)


(for clearer picture, kindly click on it)
Bahagian A (i) - Ringkasan

Faedah-faedah penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) ialah rakyat Malaysia serta pelancong luar negara dapat memperoleh maklumat tentang bidang pertanian di negara ini, di samping membolehkan usaha mempromosikan bidang pertanian ini ke seluruh dunia. Pameran yang disertai ramai pengusaha muda ini turut merealisasikan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai anak muda dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian. Seterusnya, melalui MAHA juga, penjual dan pembeli boleh bertemu, sekali gus mendapatkan maklumat terperinci tentang sesuatu , Akhir sekali, pengunjung boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian dengan harga yang murah.



Bahagian A (ii) - Pemahaman
  1. Maksud membuahkan hasil ialah memperoleh pendapatan
  2. Menurut pengarang, manfaat yang diperoleh ekoran berkembangnya pelaburan dalam sektor pertanian ialah perkembangan tersebut dapat mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar, di samping dapat meningkatkan bekalan makanan di dalam negara. 
  3. Pada pendapat saya, kerajaan boleh membantu pengusaha muda yang baru menceburi bidang pertanian dengan memberikan bimbingan keusahawanan kepada mereka, menyediakan kemudahan pinjaman dan membantu mereka dalam memasarkan produk yang dihasilkan. Kerajaan juga boleh membantu para pengusaha muda ini dengan membenarkan mereka menyewa atau mengusahakan tanah-tanah terbiar yang berpotensi untuk menjadi kawasan pertanian yang maju.

Wednesday, August 25, 2010

Set 5, Kertas 2 Bahagian C Soalan No4 (Kertas Model PMR 1 Visi)


          Dalam meniti era globalisasi dan zaman ledakan teknologi maklumat ini, masih ada segelintir rakyat di negara ini befikiran sempit dan tidak bermoral hingga tergamak untuk melakukan vandalisme. Vandalisme merupakan perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian yang begitu jelas memberi banyak impak negatif kepada banyak pihak.

          Antara kesan vandalisme yang ketara dan jelas kelihatan ialah kesan kotoran yang mencacatkan pemandangan. Tandas yang tersedia kotor dan ditambah dengan contengan pelbagai perkataan yang tidak elok malah perkataan berbaur lucah amat menjijikkan. Bukan sahaja mata yang memandang terasa sakitnya, tetapi imej negara turut tercemar.

          ‘Akibat nila setitik rosak susu sebelanga’. Perumpaan ini cukup untuk menggambarkan betapa vandalisme menyumbang kepada kesan yang tidak baik di mata pelancong asing. Mereka akan beranggapan bahawa masyarakat kita yang sedia terdidik dengan adat ketimuran sebenarnya tidak berdisiplin, walhal bukan semua rakyat Malaysia yang bersalah dalam hal ini. Bukankah senario ini amat memalukan? Apatah lagi, saat kerajaan sedang giat membanting tulang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, masih ada lagi tangan-tangan yang tidak bertamadun dan berusaha merosakkan kemudahan yang ada.

          Selain itu, tandas-tandas awam misalnya tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya kemudahan di dalamnya dirosakkan. Kanak-kanak pula tidak dapat bermain jika peralatan di taman permainan tidak dapat digunakan. Tidakkah mereka, si pelaku vandalisme sedar akan hakikat ini? Tidakkah mereka tahu, kerana kerakusan tangan dan minda mereka yang tidak rasional, ramai pihak tidak dapat mengecapi kemudahan yang disediakan?

          Seterusnya vandalisme menimbulkan pelbagai kesusahan dan kesulitan kepada ahli masyarakat. Rakyat akan kehilangan hak untuk menggunakan kemudahan awam, contohnya telefon awam tidak lagi dapat berfungsi dengan baik kerana kejahatan manusia berhati syaitan yang merosakkannya. Lebih dahsyat lagi, keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya telefon awam tidak dapat digunakan pada waktu-waktu kecemasan dan akan menyukarkan keadaan. Oleh yang demikian, kemudahan yang ada harus dijaga dengan baik agar dapat berfungsi dengan sempurna.

          Kesimpulannya, tidak ada sekelumit pun impak positif daripada vandalisme. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengelakkan diri daripada terjebak dalam kegiatan sebegini. Kita sebagai rakyat yang prihatin juga perlu menggembleng tenaga untuk memastikan negara kita bebas daripada vandalisme yang menjejaskan nama baik dan maruah negara yang tercinta di mata dunia.

Set 5, Kertas 2 Bahagian B (Kertas Model PMR 1 Visi)











CARA MENJIMATKAN PERBELANJAAN

Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol memberi impak yang besar kepada para pengguna di negara kita. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah bijak untuk menjimatkan perbelanjaan, bak kata pepatah ‘ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’.

Demi menjimatkan perbelanjaan, kita perlu menggunakan kenderaan awam  atau memilih untuk berkongsi kenderaan dengan jiran atau rakan sekerja.  

Selain itu, orang ramai khususnya suri rumah perlu beringat-ingat ketika berbelanja. Mereka juga perlu menyenaraikan barangan yang hendak dibeli  untuk mengelakkan pembaziran.

Budaya makan di luar perlu dikikis, sebaliknya, kita perlu memilih untuk memasak di rumah. Selain daripada memastikan kandungan nutrisi dan kebersihan terjamin, cara ini dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

Kesimpulannya, menjimatkan perbelanjaan merupakan amalan yang menguntungkan. Oleh itu, elakkan pembaziran untuk menjamin kesejahteraan hidup.



Tuesday, August 24, 2010

Karangan Jenis Perbahasan - Contoh karangan

Tajuk Perbahasan: Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan (Pembangkang)

          Yang Mulia, Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati panel hakim yang arif lagi bijaksana, para pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. Selamat pagi dan salam sejahtera.

          Pada hari ini, saya akan membentangkan hujah-hujah bagi membangkang tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Selaku pembangkang saya amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut kerana bagi saya penggunaan Internet lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Hadirin sekalian,

          Sebelum saya meneruskan hujah saya, izinkan saya menerangkan apakah yang kita faham dengan Internet. Internet boleh kita fahami sebagai satu sistem maklumat global melalui telekomunikasi yang semakin canggih kini. Segala bentuk maklumat dapat kita perolehi daripada penggunaan Internet ini. Tetapi ternyata ia membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

         Yang pertama ialah penggunaan Internet dapat menyemai sikap buruk individu. Maklumat tanpa sekatan di dalam Internet ini memberi peluang kepada pelajar dan sesiapa sahaja untuk mengetahui apa yang berlaku dan terkandung di dalam Internet. Lebih malang lagi apabila bahan yang diperolehi mampu merosakkan akhlak. Contohnya, melalui Internet, orang ramai suka mengetahui sesuatu yang dilarang seperti melayari laman web tentang seks dan cara hidup orang asing yang tidak sesuai dengan budaya kita. Malah mereka cuba meniru aksi dan tingkah laku tidak baik sebegini. Hal ini memberi kesan yang tidak baik dan boleh merosakkan cara hidup kita yang bersopan-santun dan bertatasusila.

          Hujah saya yang kedua ialah bagi kanak-kanak sekolah, Internet membolehkan mereka bermain permainan yang terkini. Selain membuang masa, mereka juga membazirkan wang. Mereka lupa pada pelajaran akibat terlalu leka dengan permainan yang menjadi minat mereka. Masa mereka banyak dihabiskan di depan komputer dan hal ini boleh menyebabkan hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga menjadi renggang. Hal ini bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak sekolah tetapi bagi pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Keseronokan dan tumpuan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC) ataupun Yahoo Messenger (YM) yang berlebihan menyebabkan mereka leka pada Internet dan tidak memberikan tumpuan yang sebaiknya pada pelajaran. Ada antara mereka berbual kosong atau sekadar memulakan perkenalan yang akhirnya tidak mendatangkan faedah tetapi menyebabkan mereka menanggung bil penggunaan Internet yang tinggi.

Hadirin yang dihormati,

         Hujah saya yang ketiga ialah hubungan sosial di dalam masyarakat yang semakin rapuh akibat terlalu memberi tumpuan kepada penggunaan Internet. Pada mereka yang dapat melayari Internet di rumah, mereka akan jarang keluar bergaul dengan orang lain dan masyarakat kerana terlalu asyik melayari Internet sehingga kegiatan masyarakat pun tidak diambil perhatian. Malah, di pusat-pusat Internet, kegiatan tidak baik boleh wujud akibat penggunaan Internet. Contohnya, kewujudan kegiatan perjudian melalui Internet. Hal ini tidak dinafikan apabila terdapat aktiviti penjudian yang meliputi banyak tempat dan kemungkinan juga berlaku pengaduhan apabila aktiviti berjudi dan bertaruh dijalankan.

         Seterusnya, keadaan kesihatan juga kurang diambil perhatian. Selalunya pengguna Internet meluangkan masa yang lama untuk melayari Internet. Adakalanya sampai lewat malam dan tidak kurang pula hingga awal pagi. Hal ini menyebabkan mereka kurang tidur dan rehat. Akibatnya, kesihatan mereka tidak terjejas malah penggunaan Internet yang berterusan tanpa rehat juga boleh menyebabkan mata menjadi letih dan memberi kesan sampingan.

Hadirin sekalian,

          Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya bentangkan tadi, jelaslah bahawa penggunaan Internet lebih banyak memberi keburukan daripada kebaikan. Penggunaannya perlu dipantau setiap masa. Bak kata pepatah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.

Sekian, terima kasih.


Karangan Jenis Perbahasan

Karangan Jenis Perbahasan
1.   Karangan jenis ini ialah karangan yang ditulis untuk menyampaikan pendapat tentang sesuatu tajuk yang diberikan.
2.   Perbahasan terbahagi kepada dua pihak yang mempunyai pendapat yang yang bertentangan iaitu :
·                   - pihak pencadang
·                  - pihak pembangkang
3.   Kedua-dua pihak ini mempunyai pendapat-pendapat yang tersendiri yang hendak dihujahkan.
4.   Setelah menulis pendahuluan kemukakan hujah-hujah anda
(Pastikan anda telah mengenalpasti terlebih dahulu hujah berkenaan yang pada mulanya dicatatkan secara ringkas)
5.   Pada perenggan terakhir nyatakan penegasan anda berhubung tajuk perbahasan.

Cara menulis karangan perbahasan:
    1. Mulakan dengan kata-kata aluan
Yang Mulia, Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati panel hakim yang arif lagi bijaksana, para pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. Selamat pagi dan salam sejahtera.

2. Nyatakan pendirian - sama ada membangkang atau mencadang tajuk yang diberikan 

Pada hari ini, saya  akan membentangkan hujah-hujah bagi membangkang tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Menonton Televisyen Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Selaku pembangkang saya amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut kerana bagi saya menonton televisyen lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.


3.Kemudian, teruskan dengan hujah-hujah anda (minimum 4 isi = 4 hujah; satu perenggan untuk satu hujah)

4. Perlu ada ungkapan seperti; Hadirin sekalian, Hadirin yang dihormati,dan sebagainya
    untuk menarik minat hadirin yang mendengar hujah yang dibentangkan
5. Perenggan penutup perlu ada penegasan tentang tajuk dan akhiri perbahasan dengan ucapan terima kasih. Contohnya:

    Hadirin sekalian,
Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya bentangkan tadi, jelaslah bahawa penggunaan Internet lebih banyak memberi keburukan daripada kebaikan . Kita perlu bijak dalam memilih siaran atau program yang perlu kita tonton agar tidak terpengaruh dengan gejala kurang sihat yang diperlihatkan kepada kitaBak kata pepatahTerlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.
Sekian, terima kasih.




CONTOH SURAT KIRIMAN RASMI

Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda. tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.


Nur Damia Qistina binti Nazrin,
No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.
__________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur.                                          24 OGOS 2010

Tuan,
Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Nur Damia Qistina  selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2. Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3. Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.

4. Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5. Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

6. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.

7. Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
        qistina
(NUR DAMIA QISTINA BINTI NAZRIN)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.



Surat Kiriman Rasmi - Format




1.Nama dan alamat pengirim – di sudut kiri surat.
   langkau sebaris (skip a row)
2. Lukis garisan panjang
3. Penerima dan alamat penerima – di sudut kiri surat.
4. Tarikh dengan huruf besar – di kanan dan selari dengan baris terakhir alamat penerima.
5. Panggilan hormat (Tuan/ Puan/ Datuk dan sebagainya yang sesuai) – di kiri dan tanda koma.
6. Tajuk surat – 
Semua perkataan awal dengan huruf besar, kecuali untuk kata hubung, sendi dan kata bantu. Garisi tajuk dan jangan letak tanda titik pada akhir ayat.

7. Pengenalan surat – nyatakan siapa anda + mewakili siapa (jika anda sebagai wakil) + tujuan surat ditulis. (tulis rapat di kiri surat dan jangan letak sebarang nombor)

8. Isi surat: (Bermula dari perenggan kedua dan seterusnya, letak nombor bermula dengan 2 dan seterusnya pada setiap perenggan kecuali perenggan terakhir)

         i. Huraian isu atau huraian masalah yang ditulis (di mana + sejak bila + nama pihak penyebab masalah +           
            masa masalah berlaku + siapa terlibat + dan apa-apa juga maklumat awal tentang isu atau masalah itu 
            yang dapat digunakan bagi membantu pihak yang anda beritahu)

        ii. Kesan daripada isu atau masalah itu kepada anda atau orang yang anda wakili. Kesan ini mesti diulas,
            sama seperti anda menulis karangan biasa (ada isi, huraian, contoh dan kesimpulan kecil) Sebaik-
            baiknya, 1 kesan ditulis dalam satu perenggan)

      iii. Cadangan mengatasi masalah – anda boleh memberi cadangan awal untuk mengatasi masalah atau isu          
          yang anda tuliskan.

9. Penutup surat – tuliskan harapan anda dan iringan terima kasih.
    (Ucapan terima kasih ditulis di kiri dan rapat dengan garisan. (Jangan letak nombor)
    (Selepas itu, langkau 3 hingga 4 baris)

10. Tulis pengesahan:
- “Yang menjalankan tugas” (jika tujuan rasmi) dan “Yang benar” (jika tujuan persendirian)
- Tandatangan
-(NAMA) dengan huruf besar dan dalam kurungan
-Nama jawatan (Ikut kehendak soalan jika dinyatakan), jika tidak tulislah Setiausaha. Jika tujuan persendirian, tidak perlu menulis jawatan.
-Nama institusi, persatuan atau taman perumahan yang anda wakili.
TIPS:
Pastikan anda menggunakan frasa gramatis, peribahasa atau kata-kata hikmat seperti anda menulis karangan yang lain.



Monday, August 23, 2010

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 3 “PANAS SALJU”


SINOPSIS
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Novel ini menceritakan kisah Zulkifli yang bekerja sebagai atendan hospital di Hospital Besar Kuala Lumpur. Anaknya Nadhirah mendapat penyakit kerosakan hati dan hempedu. Dr Gheethan dari HBKL mencadangkan Nadhirah dirawat di King’s College, London. Isteri Zulkifli ialah Cikgu Bushrah binti Ramli yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Tun Razak (2), Cheras . Cikgu Bushrah sanggup menderma sebahagian hati kepada anak mereka, Nadhirah walaupun risikonya cukup besar.  Zulkifli menemui sahabat lamanya Mohamad Yusuf di pejabat Utusan Malaysia agar penderitaan mereka disiarkan . Tan Sri Shamsudin yang menjadi pengarah urusan syarikat telekomunikasiSapura Holding setuju menderma RM350,000 untuk kos rawatan pemindahan hati di King’s College, London. Pakar bedah, Dr. Tan Kai Chah berjaya memindahkan hati daripada Bushrah kepada Nadhirah. Semasa di London, Zulkifli dibantu oleh Muliyadi Mahmood , sahabat lamanya yang juga kartunis dan pensyarah di UiTM Shah Alam. Isteri Muliyadi Mahmood bernama Saleha Brigite, wanita Perancis. Muliyadi sekampung dengan Zulkifli di Felda Ulu Tiram, Johor. Lima tahun kemudian, Bushrah meninggal dunia. Nadhirah berjaya dalam jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam dan bekerja di Bank Islam . Kemudian, Nadhirah berkahwin dengan seorang doktor. Adiknya, Nazli dapat belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Zulkifli sendiri telah belajar di Universiti Sains Malaysia secara jarak jauh. Kemudian belajar peringkat sarjana dan seterusnya PhD di universiti yang sama. Zulkifli akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berkahwin lagi.
TEMA DAN PERSOALAN
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Novel ini bertemakan kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak. Tema novel ini dapat dikesan melalui rentetan peristiwa yang menjalin plotnya iaitu kisah kehidupan sebuah keluarga yang mengalami masalah kewangan untuk merawat anak yang sakit kronik, kerana memerlukan kos rawatan yang cukup besar jumlahnya bagi orang biasa, kecuali keluarga itu jutawan. Sikap masyarakat yang prihatin, tanpa mengira kedudukan membolehkan anak sakit ini menerima rawatan. Pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertukar nyawa untuk memberi kehidupan kepada seorang anak juga ada hubungan rapat dengan tema novel ini.
Persoalan pertama ialah sabar dan cekal menghadapi kehidupan. Buktinya, Zulkifli dan isterinya, Bushrah begitu sabar dan tabah menghadapi cabaran yang menimpa mereka apabila anak gadis mereka, Nadhirah menghidap penyakit hati dan hempedu. Mereka sering berbincang dan mencari jalan untuk mengubati anak mereka.
Persoalan kedua ialah kasih sayang ibu bapa. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah amat menyayangi anak mereka sehingga sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang demi keselamatan anaknya. Bushrah pula sanggup berkorban nyawa demi melihat kebahagiaan anaknya.
Persoalan ketiga ialah hidup bermuafakat. Buktinya, penduduk Bandar Tun Razak yang hidup bermuafakat telah mengadakan kenduri doa selamat sebelum Nadhirah berangkat ke London untuk menjalani pembedahan. Hal ini bermakna muafakat amat penting dalam hidup berjiran.
Persoalan keempat ialah kepentingan ilmu dalam kehidupan. Oleh sebab ingin memajukan diri, Zulkifli amat mementingkan pendidikan. Dia dan kawannya, Muliyadi berusaha sehingga berjaya memperoleh PhD.
WATAK DAN PERWATAKAN (WATAK UTAMA)
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat
Watak utama dalam novel ini ialah Zulkifli. Dia sudah berumah tangga dengan Bushrah dan mempunyai dua orang anak yang bernama Nadhirah dan Nazli. Dia bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur. Zulkifli seorang suami, bapa dan pekerja yang bertanggungjawab. Sebagai suami dan bapa, dia berusaha mencari kos rawatan Nadhirah. Dia juga seorang pekerja yang mematuhi peraturan di tempat kerjanya.
Zulkifli seorang yang gigih berusaha. Buktinya, dia melakukan pelbagai usaha untuk mengumpul kos rawatan Nadhirah. Dia juga melakukan kerja-kerja sambilan seperti menulis skrip drama radio serta gigih memperbaiki taraf pendidikan sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Zulkifli seorang yang cekal dan tabah hati. Buktinya, pelbagai dugaan dan cabaran kehidupan dilaluinya dengan semangat yang cekal. Hatinya tabah menghadapi penyakit Nadhirah dan kematian Bushrah. Malah selepas isterinya meninggal dunia, dia tetap meneruskan pengajiannya dalam peringkat PhD. Dia tabah menghadapi saat-saat cemas sewaktu pembedahan Nadhirah dan Bushrah dijalankan.
Zulkifli juga digambarkan sebagai seorang yang mengenang budi dan menghormati orang lain. Dia amat menghormati Tan Sri Shamsuddin. Yang sudi membantu kos rawatan anaknya. Zulkifli sentiasa ingat akan bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai, jiran tetangga dan orang perseorangan. Zulkifli juga amat menghormati ibu dan bapa mertuanya.
WATAK DAN PERWATAKAN (WATAK SAMPINGAN)
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Watak sampingan pertama dalam novel ini Panas Salju ini ialah Bushrah. Dia ialah ibu kepada Nadhirah dan Nazli. Dia seorang guru yang bertanggungjawab dan menjalankan tugas di Sekolah Bandar Tun Razak (2). Dia ialah isteri kepada Zulkifli dan menjadi penderma hati kepada Nadhirah. Dia meninggal dunia lima tahun selepas pemindahan hatinya ke badan Nadhirah. Dia seorang yang penyayang. Buktinya, dia sayang akan suami, anak, dan keluarga. Kasihnya kepada anak terlalu mulia apabila dia sanggup mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah demi melihat anaknya bahagia.
Watak sampingan kedua ialah Nadhirah. Nadhirah ialah anak sulung pasangan Zulkifli dan Bushrah. Dia mengalami kerosakan hati dan hempedu yang dikesan ketika dalam darjah empat. Nadhirah seorang yang taat kepada orang tua. Dia amat menghormati ibu bapanya dan sentiasa mendengar nasihat daripada mereka. Nadhirah juga seorang yang berjiwa sensitif. Hatinya mudah tersentuh apabila mendengar lagu “Kasih Ibu”. Dia juga simpati kepada mangsa kemalangan yang dibantu oleh ayahnya. Nadhirah seorang yang berani. Dia berani menghadapi cabaran dan dugaan ketika menghidapi sakitnya. Dia tetap bersikap optimis dan tidak mudah berputus asa.
Watak sampingan ketiga ialah Muliyadi. Beliau merupakan kawan baik Zulkifli yang juga merupakan pensyarah ITM. Beliau berkahwin dengan wanita Perancis dan mempunyai dua orang anak. Beliau seorang yang baik hati dan ikhlas. Buktinya, ketika Zulkifli dan sekeluarga berada di London, Muliyadi sentiasa memberikan pertolongan dengan ikhlas dan memberikan sokongan moral kepada Zulkifli. Muliyadi seorang yang gigih berusaha. Buktinya, beliau begitu gigih meningkatkan taraf akademiknya sehingga ke peringkat PhD. Walaupun belajar di luar negara, dia tidak pernah melupakan asal-usulnya. Buktinya, dia tetap berjiwa Melayu dan tidak lupa akan kampung halamannya.
Watak sampingan seterusnya ialah Dr. Tan Kai Chah. Beliau merupakan seorang pakar bedah hati yang terkemuka. Beliau telah menjalankan pembedahan hati sebanyak 450 kali. Beliau seorang yang baik hati dan berfikiran terbuka. Buktinya, dia dengan mudah menjalinkan kemesraan dengan keluarga Zulkifli tanpa mengira agama dan kedudukan. Beliau seorang yang cekap menjalankan tugas. Buktinya, kepakaran dan cara kerjanya yang profesional telah menunjukkan bahawa beliau seorang yang dedikasi dalam menjalankan tugas. Beliau juga seorang yang rendah diri. Walaupun berpendapatan lumayan, beliau sentiasa merendah diri.
PLOT ATAU JALINAN PERISTIWA
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Plot novel Panas Salju ini dijalin menurut kronologi. Pada bahagian permulaan atau dikenali sebagai eksposisi, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Permulaan cerita ini mengisahkan Zulkifli dan keluarganya pulang ke Kuala Linggi, Melaka untuk menghadiri kenduri arwah adik iparnya di rumah mertuanya. Selepas itu, mereka menuju ke selatan, Felda Ulu Tebrau, Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Zulkifli. Pada majlis tersebut, Zulkifli bertemu kawan lamanya, Muliyadi yang bertugas sebagai pensyarah ITM Shah Alam.
Perkembangan cerita ialah bahagian pengarang memperkenalkan lebih banyak watak dan cerita dilanjutkan dengan pelbagai peristiwa. Pada bahagian ini, Zulkifli dan Bushrah berbincang tentang kos rawatan Nadhirah yang masih jauh daripada mencukupi. Mereka kemudiannya meminta bantuan pihak media bagi memohon simpati masyarakat. Pada waktu inilah, mereka memanjatkan kesyukuran apabila Tan Sri Shamsuddin telah bermurah hati mendermakan RM350,000 untuk menjayakan pembedahan Nadhirah di London.
Pada bahagian perumitan atau konflik, Bushrah dikatakan mengambil keputusan untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah. Tindakannya mendapat sokongan dan bantahan daripada pelbagai pihak. Namun begitu, Bushrah tetap dengan keputusannya. Sebelum mereka berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah mengadakan kenduri doa selamat untuk Nadhirah.
Pada bahagian klimaks atau puncak cerita, Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah telah sampai di London. Mereka menjalani pembedahan di Hospital King’s College. Pembedahan yang dijalankan selama 14 jam tersebut diketuai oleh pakar bedah dari Malaysia, Dr. Tan Kai Chah. Akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan. Kejutan peristiwa pada bahagian ini ialah kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan.
Pada bahagian peleraian atau akhir cerita, pengarang lebih tertumpu pada kehidupan Zulkifli sekeluarga selepas kematian Bushrah. Nadhirah telah lulus Diploma perakaunan dan bekerja di Bank Islam, Kuala Lumpur. Kemudiannya dia berkahwin dengan seorang pakar bedah. Zukifli pula melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD manakala Nazli meneruskan pelajarannya di Kuala Kangsar.
TEKNIK PLOT
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Teknik plot pertama ialah teknik saspens. Teknik ini menyebabkan pembaca akan tertanya-tanya tentang perkara yang berlaku. Buktinya, pengarang memasukkan teknik saspens pada awal cerita apabila sepasang suami isteri berbangsa Sikh yang terjunam ke dalam parit semasa Zulkifli sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Melaka. Pembaca tertanya-tanya keadaan mereka berdua.
Teknik kedua ialah kejutan. Teknik ini dimasukkan dan menambahkan minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Dalam novel ini, kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan ialah teknik kejutan. Teknik ini memberi kejutan kepada pembaca Hal ini demikian kerana sebelum ini, tidak ada tanda-tanda Bushrah menghadapi kesan buruk pembedahan yang dilaluinya.
Teknik ketiga ialah dialog. Dialog bermaksud pertuturan antara watak dalam novel. Kebanyakan dialog berlaku antara Bushrah dengan suaminya. Buktinya, “Kita mesti hadiri kursus anak cemerlang itu. Kalau tak, kita rugi besar”, kata Zulkifli sambil menghadap sarapan pagi.
Teknik penceritaan keempat ialah monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud bicara hati atau watak menyatakan perasaannya dalam hati tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata. Buktinya, “Ya Allah, ya Tuhanku, berilah aku kekuatan untuk mengangkat kedua-dua mangsa ini ke dalam kereta,” doa Zulkifli dalam hati.
Teknik imbas kembali juga banyak digunakan dalam novel ini. Teknik ini digunakan semasa pengarang memasukkan unsur ingat semula fenomena kemalangan di Sumatera Utara, Indonesia. Pihak berkuasa di sana dikatakan meletakkan kereta yang remuk di bahu jalan sebagai peringatan kepada pemandu lain agar tidak memandu terlalu laju hingga membawa maut.
LATAR TEMPAT DAN PERISTIWA
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Latar tempat memainkan peranan penting dalam setiap plot cerita. Latar tempat pertama ialah Hospital Seremban. Buktinya, kedua-dua mangsa Sikh yang terlibat dalam kemalangan dihantar oleh Zulkifli untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Latar tempat kedua ialah Kuala Linggi, Melaka. Di sinilah rumah keluarga Bushrah. Pada awal cerita pengarang menceritakan kenduri arwah yang dijalankan. Di sini jugalah Nazli ditumpangkan selama Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah berada di London. Selepas pulang dari London, Zulkifli juga singgah di rumah mertuanya sekejap sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Latar tempat ketiga ialah Felda Ulu Tebrau. Tempat ini ialah kampung Zulkifli. Zulkifli pulang ke kampung semasa menghadiri majlis perkahwinan adiknya dan berjumpa dengan kawan lamanya yang bernama Muliyadi di situ.
Latar tempat keempat ialah Sekolah Bandar Tun Razak (2). Di sinilah Bushrah bekerja sebagai guru. Setelah penderitaan Nadhirah disiarkan dalam surat khabar, warga sekolah tersebut melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu Nadhirah.
Latar tempat seterusnya ialah Hospital King’s College. Di hospital inilah Nadhirah dan Bushrah menjalani pembedahan pemindahan hati. Pembedahan yang dijalankan selama 14 jam itu telah berjaya dilaksanakan oleh Dr. Tan Kai Chah.
LATAR MASA DAN PERISTIWA
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Latar zaman atau masa dalam novel ini ialah zaman moden. Terdapat beberapa peristiwa yang dapat dikaitkan dengan latar masa seperti yang dinyatakan oleh pengarang. Latar masa pertama ialah subuh. Pada waktu inilah Zulkifli, Bushrah, dan Nadhirah bersolat subuh berjemaah, kemudian bersarapan pagi.
Latar masa kedua ialah waktu tengah hari. pada awal cerita, pengarang memasukkan waktu tengah hari semasa kereta Zulkifli rosak berhampiran Simpang Renggam. Namun begitu, dia dibantu oleh seorang lelaki yang bernama Cheng Guan.
Latar masa ketiga ialah petang. Semasa Nadhirah menjalani rawatan di London. Dr. Tan kai Chah telah menetapkan pembedahan yang akan berlangsung selama 14 jam tersebut bermula pada pukul 2 petang. Pada pukul 2 petanglah Nadhirah dibius.
Latar masa keempat ialah waktu malam. Pada waktu malam sebelum Nadhirah berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah bekerjasama menjayakan kenduri doa selamat.
Latar tempat seterusnya ialah lima tahun selepas pembedahan. Pada pukul 4.00 pagi hari Jumaat, Bushrah meninggal dunia di ribaan suaminya.
LATAR MASYARAKAT
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Latar masyarakat pertama ialah masyarakat kota. Masyarakat ini terbahagi kepada dua jenis, yakni golongan biasa dan golongan kaya raya. Buktinya, golongan biasa diwakili oleh keluarga Zulkifli dan penduduk di taman perumahannya yang hidup harmoni. Namun begitu, Tan Sri Shamsuddin yang dikategorikan sebagai golongan yang kaya raya tetap tidak sombong. Malah, beliau sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat desa. Masyarakat ini diwakili oleh ibu bapa Bushrah yang tinggal di Kuala Linggi dan ibu bapa Zulkifli yang tinggal di Felda Ulu Tebrau. Masyarakat kampung dikatakan lebih mengamalkan perpaduan terutamanya semasa menjayakan sesuatu majlis.
Latar masyarakat ketiga ialah golongan penulis dan wartawan. Buktinya, Zulkifli bekerja sambilan sebagai penulis skrip radio. Selain itu, Mohammad Yusuf bekerja sebagai pemberita atau wartawan untuk akhbar Utusan Melayu.
Latar masyarakat keempat ialah golongan pendidik atau guru. Bushrah digambarkan sebagai seorang guru yang sangat dedikasi. Dia bertugas di Sekolah Bandar Tun Razak (2). Cikgu Khairani juga memainkan peranan yang penting dalam novel ini kerana beliaulah yang selalu datang ke rumah Nadhirah apabila Nadhirah tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit. Jasa yang ditaburkan oleh golongan pendidik amat penting dalam masyarakat.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat pelbagai bangsa. Latar masyarakat ini diwakili oleh pasangan yang berbangsa Sikh dan pemuda Cina yang bernama Cheng Guan. Pasangan yang berbangsa Sikh inilah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya manakala pemuda Cina yang bernama Cheng Guan membantu Zulkifli yang mengalami kerosakan kereta di Simpang Renggam.
NILAI-NILAI MURNI
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Nilai pertama ialah baik hati. Zulkifli digambarkan sebagai seorang yang baik hati kerana membantu mereka yang memerlukan bantuan. Dia telah membantu pasangan Sikh yang mengalami kemalangan.
Nilai kedua ialah kerajinan. Watak seperti Zulkifli dan Muliyadi mengamalkan nilai ketekunan. Mereka berdua belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat PhD. kejayaan mereka dalam bidang akademik perlu kita teladani.
Nilai ketiga ialah kejiranan. Tindakan masyarakat di tempat tinggal Zulkifli sememangnya mengamalkan sikap kerajinan terutamanya semasa menjayakan kenduri doa selamat. Nilai ini perlu ada pada semua penduduk di Malaysia.
Nilai keempat ialah kerjasama. Nilai ini jelas kelihatan pada penduduk desa yang mengamalkan kerjasama semasa menjayakan sesuatu majlis. Buktinya, masyarakat desa di Felda Ulu Tebrau bekerjasama menjayakan majlis perkahwinan adik Zulkifli.
Nilai kelima ialah kesyukuran. Oleh sebab syukur dengan kurniaan Tuhan atas nikmat dan kekayaan yang dimiliki, Tan Sri Shamsuddin telah insaf akan kuasa Tuhan dan mengambil keputusan untuk mendermakan RM350,000 untuk meringankan keperitan Nadhirah.
PENGAJARAN ATAU MESEJ
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat.
Terdapat beberapa pengajaran dalam novel ini.
Pengajaran pertama ialah kita mestilah bersabar apabila menghadapi masalah. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah tetap bersabar menerima takdir yang menimpa keluarga mereka. Penyakit Nadhirah dan pandangan masyarakat terhadap mereka dihadapi dengan sabar.
Pengajaran kedua ialah kita tidak harus cepat berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Buktinya, Nadhirah pernah menjalani pembedahan tetapi penyakitnya tidak sembuh. Zulkifli tetap yakin bahawa penyakit Nadhirah akan sembuh dan melakukan pelbagai usaha untuk mengumpulkan kos pembedahan Nadhirtah.
Pengajaran ketiga ialah kita mestilah mensyukuri nikmat dan anugerah Tuhan. Buktinya, Tan Sri Shamsuddin begitu insaf akan rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh Tuhan kepadanya. Oleh sebab itu, dia sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Pengajaran keempat ialah kita haruslah menuntut ilmu tanpa mengira usia. Buktinya, Zulkifli tetap meneruskan hasratnya menuntut ilmu ke peringkat ijazah dan PhD walaupun sudah berkeluarga dan bekerja.
Pengajaran seterusnya ialah kita mestilah menghargai pengorbanan orang lain. Buktinya, Zulkifli amat menghargai pengorbanan isterinya, Bushrah yang menderma sebahagian daripada hati kepada anaknya, Nadhirah.
GAYA BAHASA
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah penggunaan diksi atau istilah perubatan. Antara contoh diksi tersebut yang terdapat dalam novel ini ialah hemoglobin, glukosa, asid laktik, glikogen, virus, bakteria dan banyak lagi.
Gaya bahasa kedua ialah sinkof. Buktinya, tak usah, istana ni, gitu, kau. Penggunaan singkatan kata ini banyak wujud dalam dialog.
Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya: Selagi nafas berdenyut, selagi itulah kita mesti mencari ilmu. Perkataan selagi diulang sebanyak 2 kali.
Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Matahari terus memancar terik membakar kulit Zulkifli. Dalam contoh tersebut, matahari digambarkan mempunyai sifat manusia, iaitu membakar.
Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini ialah simpulan bahasa. Buktinya, cari jalan, khabar angin, gulung tikar, janji-janji manis, mata pencarian dan banyak lagi.