Antara kesan vandalisme yang ketara dan jelas kelihatan ialah kesan kotoran yang mencacatkan pemandangan. Tandas yang tersedia kotor dan ditambah dengan contengan pelbagai perkataan yang tidak elok malah perkataan berbaur lucah amat menjijikkan. Bukan sahaja mata yang memandang terasa sakitnya, tetapi imej negara turut tercemar.
‘Akibat nila setitik rosak susu sebelanga’. Perumpaan ini cukup untuk menggambarkan betapa vandalisme menyumbang kepada kesan yang tidak baik di mata pelancong asing. Mereka akan beranggapan bahawa masyarakat kita yang sedia terdidik dengan adat ketimuran sebenarnya tidak berdisiplin, walhal bukan semua rakyat Malaysia yang bersalah dalam hal ini. Bukankah senario ini amat memalukan? Apatah lagi, saat kerajaan sedang giat membanting tulang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, masih ada lagi tangan-tangan yang tidak bertamadun dan berusaha merosakkan kemudahan yang ada.
Selain itu, tandas-tandas awam misalnya tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya kemudahan di dalamnya dirosakkan. Kanak-kanak pula tidak dapat bermain jika peralatan di taman permainan tidak dapat digunakan. Tidakkah mereka, si pelaku vandalisme sedar akan hakikat ini? Tidakkah mereka tahu, kerana kerakusan tangan dan minda mereka yang tidak rasional, ramai pihak tidak dapat mengecapi kemudahan yang disediakan?
Seterusnya vandalisme menimbulkan pelbagai kesusahan dan kesulitan kepada ahli masyarakat. Rakyat akan kehilangan hak untuk menggunakan kemudahan awam, contohnya telefon awam tidak lagi dapat berfungsi dengan baik kerana kejahatan manusia berhati syaitan yang merosakkannya. Lebih dahsyat lagi, keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya telefon awam tidak dapat digunakan pada waktu-waktu kecemasan dan akan menyukarkan keadaan. Oleh yang demikian, kemudahan yang ada harus dijaga dengan baik agar dapat berfungsi dengan sempurna.
Kesimpulannya, tidak ada sekelumit pun impak positif daripada vandalisme. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengelakkan diri daripada terjebak dalam kegiatan sebegini. Kita sebagai rakyat yang prihatin juga perlu menggembleng tenaga untuk memastikan negara kita bebas daripada vandalisme yang menjejaskan nama baik dan maruah negara yang tercinta di mata dunia.
No comments:
Post a Comment